Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, June 14, 2012

JKR Bahagian Sri Aman harus dapat pujian

Caption: SELESA...Gambar menunjukkan beberapa buah kenderaan melalui jalan di kawasan Kemintin Klauh, Sri Aman sudah dinaiktaraf ketika berlangsungnya musim cuti perayaan Gawai yang lepas.

SRI AMAN, Sabtu ( 9 Jun) – Pujian harus diberikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kerana telah memberikan keselesaan kepada pengguna kenderaan ketika menjelang musim cuti perayaan Gawai lepas.

Ini kerana semenjak lebih sebulan yang lepas, pihak JKR Bahagian Sri Aman dilihat telah memulakan kerja menaiktaraf jalan raya di kawasan Abok (Pantu), Lachau, Ran – Punggu, Gua Tapang Rumput dan Kemintin Klauh, Sri Aman.

Kepulangan ke kampung dengan menggunakan kenderaan tampak amat menyelesakan kali ini dikalangan para penggunanya lebih-lebih lagi ketika melalui dua kawasan jalan rosak teruk dan sudah dibaiki sebelum ini iaitu Kemintin Klauh dan Gua Tapang Rumput.

“Saya berasa gembira apabila mendapati kerosakan pada beberapa kawasan jalan raya tersebut sudah diturap ketika pulang bercuti ke Lubok Antu pada 31 Mei,” kata seorang pengguna kenderaan yang mahu dikenali sebagai Budit.

Katanya tindakan pihak JKR menaiktaraf beberapa kawasan jalan raya tersebut dianggap tepat pada masanya memandangkan jumlah kenderaan di sepanjang Jalan Sri Aman / Serian akan meningkat pada musim cuti perayaan Gawai Dayak.

Manakala itu Mey Biong pula berkata perjalanan pulang ke kampung halamannya kali ini tidak menghadapi masalah besar memandangkan jalan di kawasan Punggu – Ran sudah pun diturap semula oleh JKR sebelum itu.

“Dulu saya selalu bimbang ketika membeli banyak barangan untuk persiapan Gawai di Pasar Serian memandangkan kerosakan jalan raya di Punggu boleh menyebabkan tayar kenderaan pancit.

“Namun kali ini tidak lagi apabila jalan di kawasan itu sudah ditar semula tanpa wujudnya sebarang lubang-lubang berbahaya yang boleh menyebabkan kenderaan kita terhentak ketika melalui jalan berkenaan,” katanya.

Justeru Henry Peng berharap agar pihak JKR meneruskan usaha mereka untuk mempertingkatkan keselesaan pengguna jalan raya dengan memperbaiki kerosakan jalan raya dalam kawasan Bahagian Sri Aman selepas ini.

“Saya berharap pengguna kenderaan menghargai sumbangan JKR terhadap mereka selepas ini dengan memandu secara berhati-hati di kawasan Jalan Sri Aman / Serian dari masa ke semasa,” katanya.

Tamat.




1 comment: