Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, March 12, 2012

Pemilik tanah di Kara / Bait, Lachau, Pantu mintak campur tangan kerajaan



Caption: MINTA TOLONG...Sparrow (kanan sekali) bersama pemilik tanah bagi projek stesen janakuasa kecil elektrik di Kara menunjukkan dokumen berkaitan gangguan Mesa anak Sigan terhadap pembayaran pampasan tanah oleh kerajaan kepada pihaknya hari ini.

PANTU, Isnin (12 Mac) – Seramai 15 orang pemilik tanah dari Kampung Kara / Bait, Pantu meminta campur tangan kerajaan berhubung masalah pembayaran pampasan terhadap tanah milik mereka pada masa sekarang.

Wakil kumpulan terbabit, Sparrow anak Anyan berkata kisah ini bermula apabila tanah milik mereka sejumlah 23.5 ekar telah diambilalih oleh kerajaan bagi tujuan pembinaan stesen janakuasa kecil elektrik di Kara / Bait semenjak 9 Mei tahun lepas.

“Kesemua 15 orang pemilik tanah di situ termasuk saya sepatutnya menerima bayaran wang pampasan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM168,000 daripada Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman.

“Masalah mula timbul apabila seorang individu iaitu Mesa anak Sigan telah mendakwa bahawa kesemua 23.5 ekar tanah terbabit termasuk kawasan sekitar tanah seluas 500 meter di tapak projek itu adalah miliknya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Disebabkan oleh camputangan individu tersebut, pihak JTS Sri Aman katanya telah menyerahkan wang pampasan tersebut kepada pihak Mahkamah Adat Bumiputera Sri Aman sehingga kes tersebut selesai.

Sparrow menambah pihaknya terus bertindak menfailkan laporan polis pada 1 Ogos tahun lepas memandangkan Mesa telah memberi maklumat palsu kepada JTS dengan mendakwa bahawa tanah yang telah diukur serta disukat itu adalah miliknya.

“Beliau (Mesa) tidak mempunyai tanah di kawasan tapak projek berkenaan. Setelah membuat laporan polis, kumpulan kami seterusnya bertindak menfailkan saman terhadap Mesa di Pejabat Daerah Kecil Pantu kira-kira dua minggu selepas itu.

“Bagaimanapun kami dimaklumkan oleh pihak Pejabat Daerah Kecil Pantu bahawa Mesa enggan menurunkan tandatangan terhadap surat saman terbabit. Tindakan beliau nyata amat mengecewakan kami,” menurut Sparrow.

Atas sebab ini kumpulannya telah menulis surat kepada wakil rakyat di kawasan mereka dan memohon pihak kerajaan agar campurtangan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan secepat mungkin mulai sekarang.

“Kami tiada tempat mengadu lagi berhubung masalah terbabit. Justeru kami merayu pihak kerajaan untuk segera turun padang bagi menyelesaikan masalah itu demi kebaikan kesemua 15 orang pemilik tanah tapak projek tersebut,” katanya.

Tamat,.

1 comment: