Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, June 25, 2012

Pemimpin SWP dinasihat jangan ajar penduduk pasal politik - Raying


Caption: SELAMAT DATANG...Rayong (belakang kiri) ketika mengiringi ketibaan Nyalau (depan) sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis itu di Rumah Will, Stuga hari ini.

ENGKILILI, Sabtu (16 Jun) – Barisan pemimpin Parti Pekerja Sarawak (SWP) dinasihat agar tidak mengajar rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu mengenai hal politik kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Katanya kebanyakkan barisan pemimpin SWP tidak lagi diperlukan oleh rakyat dan ia secara tidak langsung menidakkan kelayakan mereka untuk mengajar rakyat khasnya di kawasan Lubok Antu mengenai hal tersebut.

“Mengapa tiada pembangunan seperti jalan raya di kawasan pimpinan Larry Sng (Pelagus) dan bapanya Datuk Sng Chee Hua (Julau) ketika kedua-dua mereka menjadi wakil rakyat di situ dahulu?

“Lagipun barisan pemimpin SWP yang lain seperti Josephine Mawan dan Munan Laja juga pernah tewas dalam pilihan raya dahulu. Justeru rakyat dinasihat agar tidak mudah terpengaruh dengan doktrin politik mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS Parlimen Lubok Antu yang berlangsung di Rumah Will, Stuga, Engkilili hari ini.

Selain itu Rayong juga mahu rakyat sedar bahawa hanya Parti Rakyat Sarawak (PRS) adalah merupakan komponen parti Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu dan bukannya SWP.

“SWP adalah sebuah parti pembangkang dan bukannya BN. Jangan terima kehadiran parti seperti ini melainkan sokonglah calon BN di Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang,” katanya.

Terdahulu Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat yang berlangsung di Rumah Will, Stuga itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Tamat.

Penduduk bantah konsert SWP di Lubok Antu

Caption: BANTAH...Zainie bersama wakil rumah panjang dan peniaga ketika menunjukkan surat bantahan di Balai Polis Lubok Antu kelmarin.

LUBOK ANTU, Jumaat (15 Jun) – Konsert persembahan lagu yang akan berlangsung di Cafe 88, Lot 159, Pekan Lubok pada 21 Jun ini nyata mendapat bantahan dari penduduk serta peniaga di situ.

Bantahan ini dinyatakan oleh 14 buah rumah panjang dan dua buah premis perniagan berdekatan pekan itu yang mendakwa bahawa pihak penganjur iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP) mahu menjadikan konsert itu sebagai pentas untuk mereka berkempen.

“Bantahan ini menyatakan kerisauan kami terhadap keselamatan harta-benda dan keselamatan pengunjung ke Pekan Lubok Antu,” kata wakil kumpulan tersebut iaitu Zainie Ajie ketika menyerahkan surat bantahan di Balai Polis Lubok Antu kelmarin.

Katanya konsert yang berniat politik itu akan mengganggu lalulintas kenderaan di pekan tersebut ditambahi pula dengan kegiatan meminum akohol dikalangan penonton konsert yang boleh membahayakan urusan penduduk di pasar berkenaan pada hari tersebut.

Katanya penganjuran program konsert berkenaan adalah merupakan strategi murahan SWP yang gagal mendapat sebarang sambutan daripada penduduk di kawasan rumah panjang sekitar Lubok Antu selama ini.

“Tuai Rumah di sini berpendapat bahawa jika SWP mahu mengadakan program maka mereka bolehlah menganjurkannya di kawasan Kuching dan rumah termasuk pejabat Larry Sng selepas ini,” katanya.

Selain itu kumpulan terbabit juga berkata bahawa mereka tidak akan menyokong SWP pada Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang memandangkan parti itu berlandaskan pembohongan kepada penduduk di kawasan luar bandar.

”Penduduk berasa malu dan tercabar dengan pihak SWP yang dipimpin oleh orang bukan Dayak tetapi mahu meletakkan calon mereka di kawasan majoriti Dayak pada pilihan raya nanti.

“Atas sebab ini pihak kami telah pun menolak kepimpinan SWP,” kata Zainie sambil menambah bahawa penyokong SWP dari komuniti Dayak adalah pengkianat kerana mereka sanggup menjual maruah kaum diri dengan menyertai parti tersebut.

Zainie turut memberitahu bahawa Lubok Antu bukanlah untuk dijual kepada pihak SWP sebagaimana Sabah People Front Party iaitu SPFP dijual kepada mereka dan dijadikan sebagai SWP pada masa sekarang.

Tamat.

Rakyat perlu bersikap terbuka demi pembangunan - Harden


Caption: SIMBOLIK...Harden sedang menyempurnakan simbolik Ngetas Ranyai sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.
 SRI AMAN, Jumaat (15 Jun) – Rakyat perlu bersikap terbuka sekiranya kawasan tanah milik mereka dipilih bagi tujuan projek pembangunan daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Kegagalan rakyat untuk memberi kerjasama terhadap pihak kerajaan berhubung tujuan itu boleh merugikan masa depan pembangunan di kawasan mereka pada masa akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Dialog Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Kanselor Sawing, Ulu Paku, Undop, Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.

“Contohnya boleh kita lihat apabila ada pemilik tanah (rakyat) enggan kawasan tanah mereka digunakan bagi tujuan pemasangan tiang bekalan elektrik tanpa adanya bayaran pampasan daripada kerajaan.

“Ada juga enggan menerima projek ini kerana terlalu sayangkan pokok buah-buahan mereka di kawasan tanah tersebut dan akibatnya ialah apabila projek itu terbantut maka rakyat di lain-lain kawasan akan menerima kesan itu,” katanya.

Justeru beliau berharap agar rakyat memberi sepenuh kerjasama terhadap pihak pemaju demi membolehkan projek pembangunan di kawasan penempatan mereka berjalan dengan lancar.

“Fikirkan masa depan hidup anak dan cucu kita. Ketepikanlah kepentingan diri masing-masing dengan memberi laluan terhadap kerajaan untuk memajukan hidup mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Pengurus Revenue Scoop, Razi Suhaimi, Pengurus Ladang SOP Pelita Batu Lintang, Mohd Sofian Jalil, Ketua Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP Simanggang, Patrick Michael, wakil Sesco Sri Aman, Tawis Ason, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Nor Mahathir, wakil DID Sri Aman, Henry Tuah dan ketua kaum di sini.

Terdahulu kerajaan sedang melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar atau RES untuk kegunaan 10 buah rumah panjang dan sebuah sekolah rendah di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman.

Projek yang menelan kos bernilai RM12 juta itu dijangka siap pada awal bulan Disember tahun dan akan memberi faedah kepada 1,000 hingga 1,300 orang penduduk di kawasan berkenaan.

Tamat.

Big Bikers Sri Aman komited dalam penubuhan kelab


Caption: UNTUK ALBUM...Patrick Michael (kanan sekali) ketika merakamkan gambar kenangan bersama wakil Big Bikers Sri Aman pada program tersebut baru-baru ini.

SRI AMAN, Jumaat (15 JUn) – Sri Aman Big Bikers Club telah membuktikan kesungguhan dalam penubuhan kelab mereka apabila telah mengambil bahagian dalam acara Borneo Island International Big Bike Festival di Kalimantan, Indonesia baru-baru ini.

Patrick Michael Malanjin menerusi kenyataan medianya kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu acara yang disertai oleh Sri Aman Big Bikers itu telah diadakan di Singkawang – Pontianak, Indonesia bermula dari 8 hingga 10 Jun lepas.

“Sri Aman Big Bikers Club telah pun menghantar sejumlah empat orang wakil bagi bersama-sama memeriahkan Borneo Island International Big Bike Festival yang berlangsung di negara jiran.

“Antaranya ialah saya sendiri (Ketua Pergerakan Pemuda Bumiputera SUPP cawangan Simanggang), Roslan Ali (Pengurus Bank Rakyat Sri Aman), Encik Jamali (pengurus syarikat persendirian) dan Arip Abong (Jabatan Tanah Dan Survei Sri Aman),” katanya.

Kata Patrick, acara Borneo Island International Big Bike Festival terbabit juga telah melibatkan para peserta dari negara Brunei, negeri Sabah, negeri Sarawak dan dari wilayah sekitar Kalimantan Indonesia.

Borneo Island International Big Bike Festival berkenaan katanya telah diserikan dengan persembahan nyanyian lagu secara langsung, jualan aksesori motorsikal, pameran dan banyak lagi.

“Ya program seperti ini sememangnya mengeratkan hubungan silaturahim di antara semua peserta dari seluruh pelusuk kepulauan Borneo (Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia).

“Ia secara tidak langsung juga boleh mempromosi motorsikal berkuasa tinggi ke tahap lebih tinggi selepas ini. Justeru saya berharap agar program seperti ini diadakan di Sri Aman pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa penganjuran program permotoran seperti itu di Sri Aman akan dapat mempromosi Bandar Benak dikalangan pelancong asing pada masa akan datang.

Tamat.

Anak biawak disangkakan buaya

Caption: TERPERANGKAP...Gambar menunjukkan seekor reptilia berkemungkinan dari spesis Biawak yang dipercayai terjatuh di dalam sebuah tempayan simpanan Labi-Labi kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (15 Jun) – Penghuni dari sebuah rumah panjang di kawasan Bandar Sri Aman telah gempar berhubung penemuan seekor anak reptilia di dalam sebuah tempayan simpanan haiwan Labi-Labi milik salah seorang penduduk di situ kelmarin.

Menurut sumber kejadian itu disedari oleh pemilik tempayan berkenaan apabila beliau mahu menukar air yang digunakan untuk menyimpan haiwan Labi-Labi peliharaannya pada waktu awal pagi tersebut.

“Penduduk itu kemudiannya menyedari bahawa terdapat haiwan lain yang berada bersama dengan Labi-Labi peliharaannya ketika cuba menukar air di dalam bekas tempayan tersebut.

“Disebabkan keliru terhadap jenis haiwan berkenaan, pemilik Labi – Labi tersebut kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada penghuni rumah panjang yang lain untuk kepastian lanjut,” kata sumber.

Sesetengah penghuni rumah panjang kata sumber mengandaikan bahawa reptilia tersebut sebagai anak buaya dan berjaya memasuki tempayan berkenaan namun setengahnya pula mengandaikan bahawa reptilia terbabit adalah dari spesis Biawak.

Ini kerana mustahil bagi anak buaya kata sumber mempunyai corak berbintik kuning dan berjalur di seluruh bahagian tubuhnya serta mampu memanjat tempayan simpanan Labi-Labi berkenaan.

“Lagipun andaian berkenaan mungkin timbul memandangkan rumah panjang tersebut berada berdekatan dengan sungai yang sememangnya mempunyai habitat buaya selama ini,” kata sumber.

Utusan Sarawak yang berjaya mendapatkan gambar tersebut daripada sumber akhirnya mendapati bahawa reptilia berkenaan dipercayai adalah dari spesis haiwan Biawak hasil kajian dari laman web google search di internet.

“Penghuni rumah panjang terbabit akhirnya melepaskan binatang berkenaan di kawasan hutan berdekatan,” kata sumber sambil menambah bahawa kejadian terbabit adalah yang kali pertama berlaku di rumah panjang mereka selama ini.

Tamat

Thursday, June 14, 2012

Pembangunan lambang kemegahan BN - Rayong




Caption: MESRA RAKYAT...Rayong (kiri sekali) ketika menunjukkan tanda bagus bersama rakyat di Rumah Anggang sebelum bermulanya majlis tersebut hari ini.

ENGKILILI, Rabu (13 JUn) – Pembangunan berterusan yang sedang berlangsung di Engkilili dan Lubok Antu dalam tempoh lima tahun ini perlu dijadikan sebagai pendorong kepada rakyat untuk terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata projek pembinaan jalan raya, kemudahan elektrik luar bandar, bekalan air bersih luar bandar dan banyak lagi.

“Rakyat di kawasan Lubok Antu dan Engkilili sendiri tahu bahawa projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sedang berlangsung dengan pesat di kawasan mereka pada masa sekarang.

“Ia tidak termasuk projek yang sudah dilulus dan bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Justeru tiada sebab bagi rakyat dalam kawasan Parlimen Lubok Antu untuk menolak pihak BN pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 yang berlangsung di Rumah Anggang, Nanga Mejong Ulu, Skrang dalam kawasan daerah kecil Engkilili hari ini.

Selain itu Rayong juga mahu rakyat di kawasan Engkilili dan Lubok Antu untuk terus menyokong penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak demi hala tuju pembangunan kawasan mereka.

Katanya Nyalau adalah seorang pemimpin yang mengutamakan kepentingan hidup rakyat dan ia terbukti menerusi sumbangan beliau terhadap pembangunan di kawasan Parlimen Lubok Antu semenjak tahun 2008 lepas.

“Lagipun beliau adalah seorang wakil rakyat yang mudah dibawa untuk bekerjasama dan atas sebab ini saya percaya kawasan Parlimen Lubok Antu akan terus membangun sekiranya beliau dipilih semula oleh rakyat pada pilihan raya kelak,” katanya.

Terdahulu Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Mejong.

Tamat.

Ngiling Bidai SUPP Engkilili 29 Jun ini


Caption: UMUM...Kanselor Nyambong ketika mengumumkan perkara tersebut kelmarin. Turut kelihatan ialah Dr Rayong (kanan beliau).

ENGKILILI, Rabu (13 Jun) – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Engkilili akan menganjurkan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 di Dewan Serbaguna Skim Skrang, Engkilili pada 29 Jun ini.

Perkara ini diumumkan oleh Setiausaha SUPP cawangan Engkilili, Kanselor Nyambong Maweng ketika berlangsungnya mesyuarat ahli jawatankuasa kecil cawangan parti tersebut di Pejabat SUPP Engkilili kelmarin.

“Majlis yang akan mensasarkan kehadiran sejumlah 3,000 orang penduduk dari sekitar kawasan Engkilili itu akan bermula pada jam 10 pagi bertempat di Dewan Skim Skrang berkenaan,” katanya.

Untuk menyerikan lagi Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 berkenaan, Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh katanya akan dijemput untuk menjadi patron majlis tersebut.

Turut hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa dan ADUN Opar, Ranum Mina.

“Pihak kita akan mengadakan pelbagai acara menarik bagi menyerikan lagi majlis tersebut dan ia termasuklah upacara Ngetas Ranyai, persembahan kugiran lagu, persembahan nyanyian lagu oleh artis rakaman Iban popular.

“Justeru kita berharap agar Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 ini nanti akan dapat menyatu-padukan semua penduduk berbilang kaum di kawasan Engkilili di bawah konsep 1 Malaysia selepas ini,” katanya.

Terdahulu mesyuarat ahli jawatankuasa kecil cawangan parti yang berlangsung di Pejabat SUPP Engkilili itu telah pun dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong.

Tamat.