Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, July 8, 2012

Bangku di stesen bas Sri Aman jadi mangsa vandalisme

Caption: MUSNAH...Dua buah bangku panjang di sebelah Stesen Bas Sri Aman musnah dipercayai berpunca dari perbuatan vandalisme semenjak dua minggu lepas.

SRI AMAN, Selasa (26 Jun) – Penduduk di kawasan Stesen Bas Sri Aman telah melahirkan rasa marah mereka berhubung perbuatan vandalisme yang berlaku terhadap dua buah bangku panjang di situ semenjak dua minggu lepas.

Utusan Sarawak ketika menerima panggilan daripada penduduk berhubung perkara itu telah bertindak turun padang dan mendapati bahawa kerosakan terhadap kedua-dua buah bangku tersebut nyata lebih buruk dari yang disangkakan sebelum ini.

Salah sebuah bangku panjang di situ kelihatan membengkok ke bawah dipercayai diinjak oleh sejumlah para pelaku yang ramai dengan sebuah lagi bangku panjang yang lain pula telah terputus dua.

“Mana-mana penduduk pun akan berasa geram apabila kemudahan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mereka telah dimusnahkan oleh individu tidak bertanggungjawab,” kata seorang penduduk iaitu Entoi.

Katanya bangku panjang di situ dibina khas untuk membolehkan orang ramai berehat ketika sudah berpenat-lelah melakukan urusan harian masing-masing di kawasan Bandar Sri Aman.

Kemudahan bangku panjang terbabit menurut beliau sepatutnya dijaga dengan baik oleh semua pihak dan bukannya dimusnah untuk tujuan kepuasan diri sendiri sehingga menyusahkan orang lain selepas itu.

“Sekarang orang ramai yang selalu berkumpul di kawasan Stesen Bas Sri Aman telah pun kehilangan sebanyak dua buah bangku panjang disebabkan oleh tindakan vandalisme terbabit,” katanya.

Justeru Ebit Seng pula berharap agar perbuatan vandalisme seperti ini dihentikan agar ia tidak menjadi ikutan mana-mana pihak yang berniat mahu melepaskan kepuasan diri masing-masing terhadap kemudahan harta benda awam selepas ini.

Tamat.



Suzana teruja sertai RELA


Caption: TINGGAL KENANGAN...Suzanna (kanan sekali) ketika bersama anggota RELA Sri Aman pada Sejiwa Senada di Sri Aman pada tahun lepas. Turut kelihatan ialah Allahyarham Leftenan Haji Junaidi dan Mejar Joshua Ijau.
 
SRI AMAN, Selasa (26 Jun) – Tanggungjawab keselamatan yang dipikul oleh Pasukan Relawan Ikatan Rakyat (RELA) dilihat tidak hanya terletak di bahu anggota lelaki malah turut dipikul secara bersama dengan anggota wanitanya selama ini.

Ini kerana dalam mana-mana operasi yang dilaksanakan oleh RELA selama ini, anggota wanita juga turut bersama-sama dengan anggota lelaki dalam menunaikan tanggungjawab keselamatan masing-masing terhadap rakyat di kawasan mereka.

Justeru Utusan Sarawak berkesempatan untuk menembual Kopral Suzana Kassim dari unit RELA Kampung Hulu, Sri Aman berhubung pembabitan beliau dalam pasukan sukarelawan tersebut selama ini.

“Saya telah menyertai RELA Sri Aman semenjak dari tahun 1986 dahulu kerana minat terhadap pasukan berkenaan dan bukannya promosi daripada rakan-rakan di kampung,” katanya.

Katanya penyertaan dalam RELA adalah merupakan sesuatu yang menyeronokkan terutama sekali ketika melibatkan diri dalam operasi membantu pihak polis dan imigresen dalam menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sri Aman.

Malahan pasikan RELA kata Suzanna juga sering diperlukan oleh pihak polis untuk membantu mengawal lalulintas jalan ketika berlangsungnya sesebuah majlis rasmi seperti Pesta Benak di bandar ini pada setiap tahun.

“Sumbangan wanita dalam RELA jelas dihargai apabila pihak Masjid Bandar Sri Aman menggunakan khidmat saya untuk menjaga keselamatan kenderaan milik rakyat ketika berlangsungnya sembahyang Jumaat di situ.

“Saya jangka tugas diri sebagai anggota RELA akan terus sibuk pada sambulan bulan Ramadhan tahun ini apabila pihak masjid terbabit menggunakan khidmat saya untuk memastikan kelancaran upacara sembahyang Tarawih di situ,” katanya.

Justeru atas sebab ini beliau menasihatkan golongan wanita di Sri Aman agar tidak segan untuk menyertai pasukan RELA memandangkan mereka menjalankan tugas yang murni untuk rakyat di sini.

“Lagipun RELA menawarkan banyak kemudahan kepada setiap anggotanya. Berhenti berasa segan untuk menjadi anggota RELA kerana pasukan ini sendiri kian popular dikalangan rakyat seluruh negara pada masa sekarang,” katanya.

Suzanna juga turut mengalakkan penyertaan lebih ramai golongan wanita di Sri Aman dalam pasukan RELA jika mahu merasai cabaran yang sering dihadapi oleh pasukan berkenaan selepas ini.

Terdahulu beliau yang kini mencecah umur 47 tahun pernah menganggotai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sri Aman sebelum kembali semula untuk menyertai RELA bermula awal tahun 2000 lepas.

Tamat.

Longkang di SK Abang Aing berbau busuk


Caption: KOTOR...Parit di hadapan SK Abang Aing ini dilaporkan berbau busuk dipercayai berpunca dari air kotor yang mengalir dari lokasi pusat gerai makanan tidak jauh dari sekolah berkenaan.

SRI AMAN, Isnin (25 Jun) – Kawasan persekitaran sesebuah sekolah sememangnya perlu bersih dan bebas dari apa jua pencemaran demi mewujudkan keselesaan dikalangan para guru serta murid di sekolah berkenaan dari masa ke semasa.

Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku apabila longkang dihadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing, Sri Aman dilaporkan berbau busuk dipercayai berpunca dari air kotor yang mengalir di situ.

Keadaan ini sekaligus menimbulkan rasa kurang selesa dikalangan ibubapa yang sering menghantar dan mengambil anak mereka pulang dari menuntut di SK Abang Aing selama ini.

“Longkang dihadapan SK Abang Aing tidak pernah berbau sehinggalah pusat penempatan gerai makanan dan minuman (Food Court) mula beroperas tidak jauh dari sekolah berkenaan selepas itu,” kata seorang ibu murid di sekolah tersebut.

Katanya air kotor telah mengalir ke longkang di hadapan SK Abang Aing menerusi sistem peparitan yang dibina di Food Court dan menjadi punca terhadap timbulnya bau busuk terbabit semenjak tahun lepas.

Masalah longkang berbau ini katanya dipercayai boleh memberi kesan terhadap imej sekolah itu sendiri dan menuntut agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mencari langkah segera bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Sesiapa pun tidak akan tahan mencium bau busuk longkang terbabit. Saya percaya para guru dan murid-murid yang memasuki SK Abang Aing dari pintu hadapan sekolah juga akan berasa mual apabila tercium bau terbabit.

“Justeru saya berharap agar longkang tersebut dibersihkan semula oleh PBT atau bina rangkaian peparitan yang baru bagi menyalurkan air kotor dari Food Court tanpa melalui parit di hadapan SK Abang Aing selepas ini,” katanya.

Tamat.








Kuaters guru SK Keranggas Pantu dimasuki ular



Caption: TEWAS...Gambar yang dikirim menerusi telefon bimbit ini menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap kerana memasuki kuaters kediaman guru SK Keranggas Pantu sebelum ini.

SRI AMAN, Isnin (25 Jun) – Kerajaan dirayu agar menaiktaraf kuaters kediaman berkayu yang menempat sejumlah enam keluarga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Keranggas di daerah kecil Pantu, Sri Aman selepas ini.

Ia berikutan penemuan seekor ular sawa bersaiz sederhana di bumbung syiling salah satu kediaman keluarga di situ dipercayai berpunca dari keuzuran yang berlaku terhadap kuaters kediaman mereka selama ini.

“Kisah ini sudah lama berlaku. Namun ia sekaligus membuktikan bahawa kerosakan sudah berlaku terhadap kuaters kediaman guru di SK Keranggas, Pantu pada masa sekarang,” menurut seorang guru yang enggan namanya disiarkan di sini.

Katanya peristiwa terbabit berlaku sebelum perayaan Gawai Dayak lepas apabila sebuah keluarga guru di situ sedang menonton televisyen sebelum masuk tidur pada malam hari berkenaan.

Keesokan pagi harinya salah seorang ahli keluarga guru tersebut terkejut apabila terlihat kepala seekor ular sawa terjuntai keluar dari salah satu sudut bumbung syiling kediaman mereka.

“Keluarga guru berkenaan terus bertindak dengan menangkap dan seterusnya membunuh reptilia berkenaan di luar kuaters kediaman mereka sambil disaksikan oleh para guru yang lain,”katanya.

Menurut beliau, ular sawa tersebut dipercayai berjaya memanjat masuk ke bumbung syiling kediaman mereka menerusi ruang dinding rumah yang sudah rosak serta berlubang sebelum ini.

Ular sawa berkenaan katanya dipercayai telah berada di syiling bumbung terbabit pada sepanjang waktu malam kerana cuba menangkap dan memakan tikus yang berkeliaran di situ.

“Syukurlah ular sawa terbabit tidak mengancam keselamatan mereka sekeluarga. Justeru saya merayu kepada kerajaan agar menaiktaraf kuaters kediaman guru di SK Pantu dengan segera selepas ini,” katanya.

Terdahulu kuaters kediaman berkayu yang sudah uzur di SK Keranggas, Pantu itu menempatkan sejumlah enam buah keluarga guru yang mengajar murid-murid di kawasan pendalaman selama ini.

Sekolah luar bandar ini boleh hubungi menerusi jalan sungai bermula dari jeti Pangkalan Pantu selama dua jam dan seterusnya menempuh laluan berbukit selama setengah jam untuk sampai ke sekolah tersebut.

Tamat.

Jangan terima SWP - Rayong

Caption: SERIUS...Rayong sedang menyampaikan ucapannya kepada penduduk ketika berlangsungnya majlis tersebut di Rumah Melina, Merio, Engkilili kelmarin.

ENGKILILI, Sabtu (23 Jun) – Penduduk luar bandar di kawasan Parlimen Lubok Antu digesa agar tidak menerima kehadiran pihak Parti Pekerja Sarawak (SWP) di rumah panjang mereka selepas ini.

Ini kerana penduduk di kawasan luar bandar masih memerlukan pembangunan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dari masa ke semasa kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.

“Tuai Rumah di kawasan Parlimen Lubok Antu perlu memainkan peranan untuk menasihatkan penghuni rumah panjang masing-masing agar tidak menerima kehadiran parti pembangkang tersebut

“Jika (SWP) datang maka katakan bahawa kehadiran rombongan parti tersebut tidak diperlukan memandangkan semua penduduk rumah panjang masih menyokong kerajaan BN pada masa sekarang,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2012 yang telah berlangsung di Rumah Melina, Merio dalam daerah kecil Engkilili, kelmarin.

Selain itu beliau juga mahu penduduk luar bandar sedar bahawa BN masih amat diperlukan oleh mereka demi membolehkan projek pembangunan seperti bekalan elektrik 24 jam, jalan raya, bekalan air dan sebagainya disalurkan kepada mereka selepas itu.

“SWP tidak boleh memberikan anda projek seperti itu melainkan BN. Justeru saya menyeru semua penduduk luar bandar untuk terus menyokong teguh pihak BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” katanya.

Rayong turut menambah bahawa penduduk di Parlimen Lubok Antu perlu memberikan sokongan 100 peratus mereka terhadap calon BN iaitu William Nyalau Badak pada PRU13 terbabit.

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2012 yang telah berlangsung di Rumah Melina, Merio berkenaan turut dihadiri oleh para ketua kaum dan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Engkilili.

Tamat.

Jalan Tawis Seli perlu perhatian

Caption: PERLU PERHATIAN...Gambar menunjukkan laluan Jalan Tawis Seli yang kelihatan rosak dan perlu diperbaiki segera selepas ini.
SRI AMAN, Sabtu (23 JUn) - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memberi fokus terhadap kerosakan serius yang berlaku terhadap Jalan Tawis Seli dalam Bandar Sri Aman selepas ini.

Para pengguna kenderaan dalam bandar ini mendakwa Jalan Tawis Seli dilihat mula berlekuk dengan sebahagian daripada tar di permukaan jalan itu timbul sehingga memberi kesan terhadap pemanduan mereka.

"Kerosakan Jalan Tawis Seli sudah berlaku cukup lama. Semua pemandu tidak akan selesa jika memandu di jalan berkenaan kerana sesetengah laluan jalannya sudah rosak dan sukar dilalui.

"Saya bimbang kerosakan di permukaan Jalan Tawis Seli ini akan memberi kesan terhadap tayar, penyerap hentakan dan lain-lain komponen kenderaan untuk jangka masa panjang," kata Selomon Karin.

Manakala itu seorang penduduk iaitu Liew Koh San pula berharap agar Jalan Tawis Seli diperbaiki dengan segera demi mewujudkan keselesaan dikalangan pengguna kenderaan di situ.

Ini kerana jalan tersebut katanya adalah laluan utama pengguna kenderaan yang sering berulang-alik ke SMK dan Sekolah Kebangsaan Saint Luke untuk menghantar atau mengambil anak-anak mereka yang belajar di situ selama ini.

"Lagipun ia juga menjadi laluan utama pengguna kenderaan yang sering datang dari laluan Jalan Sabu untuk ke kawasan Brayun, Jalan Sri Aman - Serian dan Jalan Paderi.

"Justeru kami berharap agar Jalan Tawis Seli dapat dibaikpulih oleh PBT agar ia dapat mengurangkan kesan kerosakan jangka panjang terhadap kenderaan kami selepas ini," katanya.

Tamat.



Jayakan Gagasan 1 Malaysia - Harden


Caption: TERIMALAH...Dr Penguang (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Harden (kanan) sambil disaksikan oleh para wakil rakyat dan pegawai tinggi kerajaan ketika berlangsungnya majlis itu malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (23 Jun) - Sambutan perayaan utama di negeri ini seharusnya dijadikan sebagai satu pentas oleh semua penduduk untuk menjayakan perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata ia penting agar kestabilan politik dapat diwujudkan dan seterusnya memacu pembangunan di negeri ini dengan lebih pesat.

"Anda boleh lihat perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Gawai Dayak atau Krismas menghimpunkan semua penduduk berbilang kaum dan berlainan agama di negeri ini.

"Ia boleh mewujudkan hubungan perpaduan yang lebih erat di antara semua pihak ditambahi lagi dengan pengenalan Gagasan 1 Malaysia yang dilihat amat baik demi masa depan pembangunan negara termasuk negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 anjuran Pihak Berkuasa Tempatan Zon Tengah yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mahu semua penduduk berbilang kaum dan agama agar bersatu-padu di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas ini.

"Kerajaan BN telah membuktikan keunggulan mereka dengan mewujudkan perpaduan kaum yang utuh di antara semua penduduk semenjak negara merdeka hingga sekarang.

"Justeru saya mengajak agar semua penduduk berbilang kaum dan agama di negeri ini untuk terus menyokong BN agar perpaduan seperti ini terus kekal demi kebaikan pembangunan negeri kita di masa akan datang," katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Pembangunan Komuniti, Dr Penguang Manggi, Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh dan pegawai tinggi kerajaan.

Terdahulu terdapat sejumlah tujuh buah PBT di Zon Tengah Sarawak antaranya ialah Majlis Daerah Serian, Majlis Daerah Simunjan, Majlis Daerah Sri Aman, Majlis Daerah Lubok Antu, Majlis Daerah Betong dan Majlis Daerah Saratok.

Tamat.