Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, April 10, 2020

SRS Zon 1 Kampung Muhibbah, Simanggang akur arahan PKP


10 APRIL 2020

SIMANGGANG: Skim Rondaan Sukarela (SRS) paling aktif di Bandar Simanggang iaitu Zon 1 Kampung Muhibbah kini terpaksa menangguh kesemua aktiviti rondaan di penempatan mereka berhubung penularan pandemik COVID-19.

Ketua Perondanya Ramli Abu Sera berkata keputusan menangguh semua operasi rondaan ini juga dibuat untuk mematuhi arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semenjak 18 Mac lepas.

"SRS Zon 1 Kampung Muhibbah amat mengambil berat keselamatan kesemua ahli. Kita tidak mahu terdapat ahli SRS dijangkiti pandemik berbahaya tersebut ketika melakukan rondaan di kawasan ini.

"Walaupun COVID-19 tidak disebar melalui udara namun kita tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko jangkitan pandemik tersebut dengan mematuhi arahan PKP pada masa sekarang," katanya.

Ramli juga memohon kesemua penduduk di kawasan Kampung Muhibbah untuk menghadkan pergerakan keluar rumah demi membantu mengekang penularan pandemik tersebut kelak.

Katanya tindakan mereka juga adalah penting kerana ia akan mempengaruhi keputusan kerajaan sama ada mahu melanjutkan atau menamatkan arahan PKP selepas 14 April nanti.

"Kami juga memohon penduduk termasuk di Kampung Muhibbah agar tidak leka terhadap keselamatan harta benda masing-masing di rumah bersempena dengan penguatkuasaan PKP sekarang," kata beliau.

Ramli juga memberitahu pihak SRS Zon 1 Kampung Muhibbah akan kembali melaksanakan operasi rondaan jika sudah mendapat arahan daripada pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini kelak.

Tamat

Penduduk luar bandar di Pantu, Sri Aman bimbang COVID-19


10 APRIL 2020

PANTU: Penduduk luar bandar terus mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemasukan orang luar berhubung penularan pandemik COVID-19 di negara ini termasuk Sarawak pada masa sekarang.

Ia terbukti apabila dua buah rumah panjang di sini bertindak mendirikan papan tanda amaran kemasukan orang luar berhubung penularan pandemik tersebut di simpang jalan masuk ke penempatan mereka iaitu Selantik Ili dan Rapak di sini.

"Saya dan penduduk kampung sebulat suara bertindak mendirikan papan tanda amaran kemasukan orang luar selepas kawasan Sri Aman dilaporkan mencatat satu kes positif COVID-19 pada awal bulan ini.

"Ini tindakan awal kami bagi mempertahankan diri daripada jangkitan pandemik itu. Justeru jika ada orang luar ingin masuk ke penempatan ini maka mereka harus ditanya oleh pihak kami terlebih dahulu," kata Tuai Rumah Selantik Ili, Hearold Ernest.

Beliau juga menasihat orang luar agar tidak memasuki rumah-rumah panjang dalam kawasan Pantu melainkan mereka sebelum ini mempunyai saudara terdekat yang tinggal di sana pada masa sekarang.

"Bagaimanapun jika datang dari kawasan 'merah' maka adalah lebih baik buat mereka untuk tidak berkunjung ke rumah panjang sanak saudara sendiri demi mengelak risiko penyebaran pandemik itu kelak.

"Fikirkan keselamatan sanak saudara anda. Jika ingin menemui mereka pastikan sesudah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau sesudah berakhir pandemik ini nanti," katanya.

Tinjauan lanjut Utusan Sarawak juga mendapati penduduk di kawasan Rapak bertindak mendirikan papan tanda amaran terhadap orang luar setelah mendapati muncul satu kes positif pandemik itu di Sri Aman pada awal bulan ini.

Tamat

4,061 KIR DUN Engkilili terima bantuan makanan sempena PKP


10 APRIL 2020

ENGKILILI: Sejumlah 4,061 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili sedang dan bakal menerima bantuan bekalan makanan daripada kerajaan bersempena dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata pengagihan tersebut telah bermula Khamis lepas sambil melibatkan sebanyak 50 buah kenderaan agensi kerajaan termasuk persendirian di Bahagian Sri Aman.

"Kenderaan ini terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kenderaan penduduk setempat.

"Dua buah helikopter juga akan diguna bagi tujuan penghantaran bekalan makanan terhadap KIR di kawasan pedalaman yang sukar diakses menerusi jalan darat dalam kawasan ini," kata Harden.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengagihan Bekalan Makanan Bagi DUN Engkilili di sini.

Harden juga memaklumkan bahawa itu penghantaran menggunakan helikopter telah bermula semalam untuk 83 KIR dari rumah panjang sekitar kawasan SK Nanga Menjuau dan 29 KIR untuk dua rumah panjang di Keranggas.

Penghantaran juga katanya turut dilakukan untuk 20 KIR dari sebuah rumah panjang di Begantong, 23 KIR untuk sebuah rumah panjang di Akup dan 65 KIR untuk empat buah rumah panjang di Nanga Entalau.

"Saya menjangkakan bahawa proses pengagihan bekalan makanan untuk kesemua KIR bagi kawasan DUN Engkilili berkenaan akan dapat diselesaikan oleh pihak kita menjelang Ahad ini," kata beliau.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan adalah Timbalan Residen Sri Aman, Elvis Didit, Pegawai Daerah Lubok Antu, Richard Ngumbang, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Engkilili, Brin Munsang dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Vivian Engkiong.

Tamat

Pengguna perlu bagi info tepat dalam aduan - KPDNHEP Sri Aman




9 APRIL 2020

SIMANGGANG: Pengguna di Bahagian Sri Aman diseru agar memberi maklumat yang tepat dan spesifik ketika membuat aduan mengenai tindakan peniaga menaikkan harga barang di kawasan masing-masing.

Ketua Cawangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman, Pelani Kemiti berkata tindakan itu penting demi memudahkan pihaknya melakukan siasatan berhubung aduan yang diberi oleh pengguna itu kelak.

"Menerusi aduan tersebut, pengguna misalannya haruslah menyertakan maklumat terperinci berkaitan dengan resit pembelian barang masing-masing di sesebuah premis perniagaan berkenaan.

"Ini kerana maklumat pada resit pembelian berkenaan menunjukkan perbezaan harga terdahulu dan harga terkini yang seterusnya akan memudahkan pihak KPDNHEP menjalankan siasatan lanjut terhadap aduan mereka nanti," kata beliau.

Selain itu Pelani juga menasihat pengguna agar tidak melakukan pembelian panik di Bahagian Sri Aman memandangkan bekalan sedia ada masih mencukupi di pasaran buat masa sekarang.

Malahan para pegawai KPDNHEP kata beliau juga akan sentiasa berada di lapangan untuk memantau keadaan bekalan, trend harga dan etika peniaga ketika berlangsungnya penguatkuasaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya juga mahu memberi amaran kepada semua peniaga di Bahagian Sri Aman supaya tidak sesekali menaikkan harga, enggan menjual atau menyorok barangan kawalan dalam tempoh PKP ini.

"Lagi pun pihak KPDNHEP juga tidak akan teragak-agak mengeluarkan Notis Seksyen 21 jika para peniaga dalam Bahagian Sri Aman ini didapati bertindak menaikkan harga secara tidak munasabah di premis masing-masing kelak," kata beliau.

Pelani juga menasihat pengguna agar mengamalkan penjarakkan sosial (social distance) ketika membeli-belah di pasaraya atau premis perniagaan demi mengelak jangkitan pandemik COVID-19.

"Pengguna boleh menyalurkan aduan mereka dengan menghubungi pihak kami di talian 083323836 atau melalui aplikasi Ez Adu KPDNHEP atau laman Facebook KPDNHEP cawangan Sri Aman kelak," kata beliau.

Terdahulu Pelani bersama kakitangan KPDNHEP Sri Aman telah pun bertindak melakukan pemantauan bekalan dan harga barang di kesemua premis perniagaan dalam Bahagian Sri Aman ini semalam bersempena dengan penguatkuasaan arahan PKP.


Tamat

Wednesday, September 5, 2012

Sertai Aktiviti 10,000 Langkah pada 9 September ini



SRI AMAN, Rabu (5 Sept) – Orang ramai dijemput bagi menjayakan Aktiviti Berjalan 10,000 Langkah Serentak Seluruh Malaysia 2012 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman pada 9 September ini.

Aktiviti anjuran Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman yang bermula pada jam 9 pagi di Kompleks Sukan Sri Aman itu bertujuan untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-55 Tahun.

“Objektif aktiviti bagi peringkat Bahagian Sri Aman ini adalah untuk menzahirkan semangat patriotisme dikalangan kakitangan kesihatan disamping mempromosikan aktiviti fizikal seperti 10,000 langkah sebagai cara mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan mendapatkan pengiktirafan daripada pihak The Malasia Book Of Record sebagai Aktiviti 10,000 Langkah Serentak Seluruh Malaysia dengan penyertaan paling ramai,” kata jurucakapnya Gabriel Alexis.

Bagi menjayakan aktiviti terbabit pihak penganjur menurut beliau akan mengadakan beberapa acara lain seperti nyanyian lagu patriotik, perlepasan berjalan 10,000 langkah dan juga cabutan tiket bertuah.

Justeru pihak Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman kata Alexis ingin menjemput penduduk yang berminat dari kawasan Sri Aman agar datang pada hari tersebut bagi memeriahkan lagi suasana penganjuran aktiviti tersebut.

“Penduduk yang berminat untuk menyertai aktiviti ini boleh mendaftarkan diri masing-masing bermula jam 6.30 pagi sebelum upacara pelepasan diadakan pada jam 8 pagi di kompleks sukan berkenaan.

“Setiap para peserta yang menyertai program ini akan diberi sijil penyertaan. Sebarang pertanyaan sila hubungi penyelaras program kami di talian 083-322176 untuk malumat lanjut,” menurut beliau.

Tamat.

Hanya ada empat parti dalam BN Sarawak - Nyalau



Caption: TERIMALAH...Nyalau sedang menyerahkan cek peruntukan kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Dr Rayong pada Majlis Penyerahan Ilmu di SK Issu Bangat, Lidong, Engkilili malam tadi.

ENGKILILI, Rabu (5 Sept) – Sesebuah parti yang mahu menyertai keanggotaan komponen parti Barisan Nasional (BN) adalah sukar dan bukannya dianggap mudah seperti yang didakwa oleh Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu Larry Sng sebelum ini.

Ini kerana parti itu perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demoktarik Sarawak (SPDP) jika mahu menyertai komponen BN Negeri.

“Komponen parti BN Sarawak hanya terdiri PBB, SUPP, PRS dan SPDP. Jika sesebuah parti itu mahu menjadi ‘rakan kelima’ maka mereka perlu mendapat persetujuan daripada keempat-empat parti komponen terbabit.

“Justeru dakwaan SWP bahawa mereka adalah ‘rakan’ BN Negeri nyata tidak benar kerana niat parti tersebut pastinya akan dibantah oleh PRS yang sekaligus akan mengagalkan usaha terbabit,” kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Ilmu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Issu Bangat, Lidong dalam daerah kecil Engkilili malam tadi.

Selain itu beliau juga mahu rakyat sedar bahawa SWP adalah parti milik ‘keluarga’ apabila barisan pucuk pemimpinannya terdiri daripada bapa (Datuk Sng Chee Hua selaku penasihat), anak (Larry sebagai presiden), anak saudara (George Lagong sebagai timbalan presiden) dan adik kepada Larry (sebagai bendahari).

“Ia sekaligus mengambarkan bahawa SWP bukan parti untuk rakyat tapi hanya untuk keluarga kerana jika ia parti untuk rakyat maka barisan pemimpin utamanya bukanlah terdiri daripada ahli keluarga terbabit,” kata beliau.

Nyalau juga berharap agar rakyat memberi peluang kepadanya sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat mereka bagi tempoh penggal kali kedua menerusi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Lagipun banyak projek pembangunan telah dilaksanakan oleh saya di kawasan Parlimen Lubok Antu dengan hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili iaitu Dr Johnnical Rayong semenjak satu penggal menjadi wakil rakyat di situ,” katanya.

Terdahulu Nyalau pada majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SK Issu Bangat, Lidong sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong dan para tetamu khas yang lain.

Tamat.

Imigresen LTAK adakan Majlis Ramah Tamah Raya



Caption: UNTUK ALBUM...Para pegawai Imigresen LTAK sedang bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan bersempena dengan sambutan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidlfitri 2012 di LTAK baru-baru ini.

Nelson Naga Alam

SRI AMAN, Rabu (5 Sept) - Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) nyata tidak ketinggalan untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang telah berlangsung semenjak 19 Ogos lepas.

Ia terbukti apabila LTAK menerusi Badan Sukan Dan Kebajikan Pegawai Imigresen LTAK telah mengadakan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri di ruang pejabat Jabatan Imigresen LTAK baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Haji Hamfatullah Syawal Hamdan menerusi siaran media hari ini telah mengingatkan para pegawai yang bertugas di LTAK supaya mengekalkan semangat kerjasama untuk menjayakan majlis yang seperti ini.

Katanya semangat tersebut perlu diteruskan pada perayaan utama yang lain seperti Hari Gawai Dayak dan Hari Tahun Baru Cina bagi mengekalkan hubungan perpaduan di antara mereka dari masa ke semasa.

“Saya mengucapkan tahniah dan memuji usaha keras Badan Sukan Dan Kebajikan Pegawai Imigresen LTAK selaku penganjur majlis yang berjaya mengadakan majlis ramah tamah tahun ini.

“Usaha mereka turut diserikan dengan menjemput lapan buah agensi yang beroperasi di LTAK seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Syarikat Malaysia Airports Berhad dan lain-lain,” katanya.

Justeru kata Syawal, semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh kesemua agensi pada majlis tersebut akan lebih memudahkan lagi Jabatan Imigresen LTAK menjalankan tugas-tugas harian pada masa akan datang.

Terdahulu Majlis Ramah Tamah LTAK 2012 berkenaan telah dimeriahkan lagi dengan sesi karaoke dan tarian poco-poco yang dipersembahkan oleh para pegawai Imigresen yang bertugas di LTAK.

Acara penyampaian cendaramata kepada dua orang pegawai imigresen iaitu PIT Ibrahim Zaini dan PI Shamsul Najan yang akan berpindah tugas dari LTAK juga turut diadakan pada majlis itu.

Turut hadir bagi bersama-sama memeriahkan lagi suasana sambutan majlis ini ialah para ketua Imigresen dari Ibu Pejabat, Kota Samarahan, Bahagian Penguatkuasa dan Depo Semuja di Serian.

Tamat.