Mugshot: RAMLI ABU SERA
SRI AMAN, Rabu (29 Ogos) – Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 di Sri Aman bakal
diserikan lagi menerusi penganjuran Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan
Motorsikal pada 31 Ogos ini nanti.
Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal yang akan bermula dari jam
7 hingga 10 pagi di Kampung Muhibbah Sri Aman itu bakal melibatkan sejumlah 40
orang peserta.
“Ia merupakan kali pertama pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan kerjasama
pihak Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Muhibbah Sri Aman menmganjurkan
program seperti ini bersempena dengan sambutan hari bersejarah tersebut.
“Kesemua 40 peserta ini akan menggunakan basikal dan motorsikal untuk
berkonvoi sejauh tiga kilometer bermula dari Kampung Muhibbah Sri Aman sambil
membawa bendera Jalur Gemilang,” kata jurucakap penganjur iaitu Ramli Abu Sera.
Menurut beliau Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal ini
mempunyai objektifnya yang tersendiri iaitu untuk menarik penyertaan anak muda
dalam program berbentuk patriotik seperti itu.
Penglibatan anak muda dalam program seperti ini kata Ramli secara tidak
langsung akan dapat menanam semangat nasionalisme di dalam diri mereka dalam
menjaga kestabilan politik negara pada masa akan datang.
“Golongan ini harus dididik dari kecil mengenai nilai-nilai sejarah yang
terdapat dalam sambutan Hari Kemerdekaan agar ia dapat menyemai sikap cintakan
negara apabila mereka sudah membesar kelak.
“Justeru saya berharap agar Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan
Motorsikal ini dapat menyedarkan golongan muda terhadap nikmat kemajuan negara
yang telah dikecapi oleh mereka pada masa sekarang,” katanya.
Ramli turut menambah bahawa pihaknya akan turut menganjurkan Majlis Ramah
–Tamah sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Muhibbah, Sri
Aman pada 7 atau 8 September kelak.
Tamat.
No comments:
Post a Comment