Caption: RASMI... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis
Harden sambil diapit oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat ketika hendak
menyempurnakan simbolik memotong kek sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di
Sungai Tengak, Sri Aman kelmarin.
SRI AMAN, Isnin (27 Ogos) – Rakyat dinasihat agar bersedia untuk menghadapi Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar
Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.
Persediaan rakyat terhadap PRU-13 akan datang katanya termasuk dari segi
ketahanan dan kesabaran mental mereka ketika mendengar segala dakyah yang
diutarakan oleh pihak pembangkang.
“Ketahanan dan kesabaran mental itu adalah amat penting. Jika mereka (rakyat)
tewas terhadap hujah atau dakyah yang disampaikan oleh pihak pembangkang maka
ia akan memberi kesan terhadap pihak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya
itu.
“Justeru saya mengajak semua rakyat terutama sekali mereka yang tinggal di
luar bandar untuk terus bertahan bersama kerajaan pimpinan BN demi pembangunan
berterusan di kawasan mereka selepas itu,” katanya.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata
demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah
Impol, Sungai Tengak, Undop, Batu Lintang, Sri Aman kelmarin.
Selain itu beliau juga menasihatkan rakyat di kawasan luar bandar agar
menolak kehadiran pihak pembangkang di dalam diri masing-masing demi
pembangunan berterusan pada masa akan datang.
“Prestasi cemerlang kerajaan pimpinan BN sememangnya tidak harus
dipertikaikan lagi. Justeru saya berharap agar rakyat bijak membuat pilihan
masing-masing ketika turun mengundi pada PRU-13 akan datang,” katanya.
Harden menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar
Bandar bernilai RM8,000 kepada JKKK Rumah Panjang Impol bagi kegunaan rumah
panjang tersebut.
Hadir sama pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Impol ini ialah
Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Kanselor Sawing Sumar, para Tuai Rumah dan
ketua-ketua kaum di sini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment