SIMANGGANG: Guru-guru di kawasan luar bandar menghadapi
cabaran amat getir dalam meneruskan tanggungjawab mereka terhadap murid apabila
sekolah ditutup akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di
negara ini.
Ini kerana capaian internet di kawasan luar bandar adalah
terhad sehingga menyukarkan guru untuk melakukan sesi kumpulan pembelajaran
atas talian berbanding dengan guru di kawasan luar bandar.
"Disebabkan oleh kelemahan capaian internet di
Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tibu, Engkilili maka pihak kami telah bertindak
menyedia dan mengedarkan kertas latihan ke rumah panjang murid-murid dari
sekolah ini.
"Usaha ini berjalan lancar dengan para guru yang
berasal dari rumah panjang berdekatan sekolah ini bertindak menyempurnakan
tanggungjawab mereka berhubung perkara itu," kata salah seorang gurunya
iaitu Raymond Tawie Phang.
Beliau ketika dihubungi Utusan Sarawak menerusi tinjauan
berhubung perkara itu turut memberitahu bahawa para murid sekolahnya turut
diminta menonton rancangan OKEY yang disiarkan di televisyen untuk memantapkan
sesi pembelajaran masing-masing.
Sementara itu suri rumah iaitu Selbiah Pinuh ketika
dihubungi Utusan Sarawak bagi tinjauan ini berpendapat bahawa ibu bapa perlu
mengambil inisiatif untuk meneruskan sesi pembelajaran anak-anak di rumah jika
tiada capaian internet yang kuat.
"Ibu bapa boleh memohon bantuan daripada jiran atau
anak buah yang lebih berpengetahuan untuk mengadakan sesi pembelajaran ringkas
untuk anak-anak pada setiap petang di rumah.
"Bagi saya tindakan ini adalah baik untuk membantu
guru-guru di sekolah kawasan luar bandar untuk meneruskan sesi pembelajaran
buat anak-anak pada setiap hari sepanjang perlaksanaan PKP ini," kata
Selbiah.
Dia juga memohon kepada kerajaan untuk memperhebatkan
usaha memperluas capaian internet di kawasan luar bandar agar anak-anak dapat
belajar secara atas talian jika isu penularan pandemik seperti ini menular
kelak.
Tamat